Pasangan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Pasangan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ribuan penonton di Axiata Arena sudah pasti kecewa apabila satu demi satu pasangan beregu lelaki tumbang di suku akhir Masters Malaysia semalam, namun Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Aaron Chai-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bertekad mahu bangkit semula di Terbuka Singapura minggu depan.

Pasangan paling kecewa semalam ialah Wei Chong-Kai Wun selepas mereka beraksi cemerlang di kejohanan sama tahun lalu dengan muncul naib juara.

Menurut Wei Chong, mereka harus bangkit kembali untuk sekurang-kurangnya mara lebih jauh di Singapura tetapi semua perlu berdasarkan kepada corak permainan, di mana ia perlu diperbaiki sebaik mungkin.

"Corak permainan (harus diubah), kami perlu lebih stabil sedikit, mungkin kami terlalu perlahan hari ini (semalam)," kata Wei Chong yang berharap menggunakan kesempatan dua hari untuk mempersiapkan sebelum bertolak ke Singapura.

Sementara itu, Kai Wun mengakui prestasi mereka kurang bagus ketika tumpas 18-21, 16-21 kepada pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

"Banyak kesilapan, sedangkan permainan mereka sangat laju, mungkin sebab mereka memberi tekanan kepada kami.

"Kami tidak dapat beraksi seperti biasa," kata Kai Wun yang bakal berdepan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren di pusingan pertama Terbuka Singapura.

Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan utama semalam kalah kepada Jin Yong-Na Sung Seung dari Korea Selatan, 21-11, 19-21, 19-21, manakala Sze Fei-Izzuddin tumpas di tangan pilihan kedua dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 19-21, 17-21.

Aaron-Wooi Yik akan berdepan Chang Ko-Chi-Po Li-Wei, manakala Sze Fei-Izzuddin pula menentang Lu Ching Yao-Yang Po Han, kedua-duanya dari Taiwan pada pusingan pertama Terbuka Singapura nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 2:44 PM