AKSI Zii Jia ketika menentang Jun Peng. FOTO BAM
AKSI Zii Jia ketika menentang Jun Peng. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia pulang awal daripada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo selepas tumbang di tangan pemain China, Zhao Jun Peng dalam saingan pusingan ketiga, hari ini.

Berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pemain nombor lima dunia itu memberi saingan sengit sebelum tewas 19-21, 21-11, 19-21 kepada Jun Peng yang menduduki ranking ke-23 dunia.

Dia yang sebelum ini menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia, dilihat sudah mencuba sedaya upaya untuk mengatasi lawannya itu, namun akhirnya menemui kegagalan.

Dengan kekalahan itu, tiada lagi wakil perseorangan negara pada kejohanan kali ini.Ia juga menjadikan rekod pertemuannya dengan Jun Peng terikat 1-1 selepas Zii Jia menewaskan lawannya itu di Terbuka Jerman, Mac lalu.

Sementara itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan status mereka selaku beregu utama negara selepas mengecewakan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani pada pusingan ketiga di Tokyo, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu mempamer aksi meyakinkan untuk menewaskan Sze Fei-Nur Izzuddin 21-17, 21-19 dalam tempoh 42 minit.

Ini pertemuan kali kelima membabitkan kedua-dua pasangan negara itu yang menyaksikan rekod memihak kepada Aaron-Wooi Yik apabila memenangi empat daripada pertemuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 6:02 PM