AKSI menarik Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri ketika menentang beregu Kazakhstan. FOTO Aswadi Alias
AKSI menarik Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri ketika menentang beregu Kazakhstan. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seperti dijangka, skuad badminton lelaki negara tidak berdepan masalah mencatat kemenangan 5-0 ke atas Kazakhstan dalam aksi kedua peringkat kumpulan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Kemenangan 5-0 kali kedua berturut-turut skuad lelaki negara yang juga juara bertahan membolehkan mereka mengesahkan slot ke suku akhir dan hanya perlu mencari kedudukan terbaik untuk aksi terakhir menentang Taiwan esok.

Seandainya berjaya menumpaskan pasukan ranking kesembilan dunia itu ia membolehkan mereka muncul juara kumpulan sekali gus mengelak daripada memperoleh undian sukar di peringkat kalah mati.

Aksi cemerlang skuad lelaki negara bermula dengan pemain ranking ke-10 dunia, Lee Zii Jia berjaya mengalahkan Dimitriy Panarin 21-11, 21-10 dalam tempoh 32 minit.

Mata kedua pula disumbangkan seorang lagi pemain perseorangan iaitu Leong Jun Hao selepas dia mencatat kemenangan 21-8, 21-11 ke atas Ibray Bayken.

Kemenangan Malaysia disahkan oleh pemain remaja negara, Eogene Ewe yang turun selaku perseorangan ketiga apabila dia tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Makhsut Tajibullayev 21-7, 21-9.

Pemain beregu negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri pula menyumbang mata keempat selepas mereka menang 21-10, 21-9 ke atas Ratmir Gilmanov-Bayken.

Aksi terakhir skuad lelaki negara menyaksikan satu lagi pasangan beregu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Kulmatov-Tajibullayev 21-6, 21-2.

Taiwan turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas berjaya menumpaskan Brunei 5-0 sebentar tadi dan semalam mereka menang dengan jumlah mata sama ketika berdepan Kazakhstan.

Perlawanan Malaysia dan Taiwan esok berlangsung jam 5 petang di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 9:50 PM