Apit kanan Thailand, Pornchai Kaokaew (kanan) melakukan hadangan libasan Apit kanan Malaysia, Muhammad Norizat Nordin di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Apit kanan Thailand, Pornchai Kaokaew (kanan) melakukan hadangan libasan Apit kanan Malaysia, Muhammad Norizat Nordin di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Skuad sepak takraw berpasukan lelaki negara terus menghidupkan peluang untuk meraih perak apabila kembali dengan landasan kemenangan hari ini selepas menumpaskan Kemboja 3-0 di Dewan Sukan Daerah Hoang Mai.

Aksi cemerlang skuad negara bermula dengan regu pertama yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi berjaya mengalahkan trio Kemboja, Veasna Sam, Sokhom Chhorn dan Channem Sorn 21-6, 21-10.

Kemenangan Malaysia disahkan dengan gandingan Faisal Fuad, Noraizat Nordin dan Norfaizzul Razak menang 21-2, 21-6 ke atas Chanthea Di, Hapchhun Nom dan Sovoutha Houth.

Regu ketiga yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Asyraaf Hadi dan Redwan Hakim Muhammad tidak berdepan masalah untuk menundukkan Si E Sen, Mithona Pheng dan Korn Kien 21-5, 21-9.

Menurut pengendali skuad sepak takraw kebangsaan, Abdul Talib Ahmad, Sukan Sea kali ini skuad negara menampilkan lapan muka baru yang tidak pernah merasai pengalaman beraksi di mana-mana Sukan Sea.

"Kalau ikutkan ada tiga atau empat pemain mula nampak menunjukkan permainan mereka. Contohnya jika ada set yang perlu bersaing mereka akan bermain dengan bersungguh-sungguh.

"Tidak mustahil satu hari nanti mereka mampu untuk memberi tentangan termasuk kepada Thailand," katanya yang perlu mempersiapkan pasukan untuk berdepan tuan rumah, Vietnam esok.

Selepas terlepas emas apabila tumpas 0-3 kepada Thailand semalam, skuad takraw berpasukan lelaki kini hanya menumpukan kepada buruan perak dengan syarat mampu mengalahkan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 2:28 PM