Kuala Lumpur: Seperti dijangka, skuad badminton remaja negara tidak berdepan masalah mencatat kemenangan pertama aksi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Remaja Dunia ketika berdepan El Salvador awal pagi semalam.

Aksi dalam Kumpulan A2 itu menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan 5-0 dan semua pemain diturunkan tidak berdepan masalah memenangi perlawanan dengan keputusan straight set.

Ketua Jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kwan Yoke Meng berkata, mereka memang langsung tidak berdepan masalah apabila bertemu El Salvador yang hanya mempunyai empat pemain.

“Memang kita mengambil kesempatan atas kelemahan mereka apabila setiap pemain mereka terpaksa beraksi sekurang-kurangnya dua kali," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Yoke Meng yang pernah membantu Malaysia memenangi Piala Thomas 1992 mengakui lawan berada dalam kepenatan berikutan tidak mampu membariskan ramai pemain dalam kejohanan berkenaan berbanding Malaysia.

“Secara keseluruhan pemain kita beraksi pada tahap sebenar dan saya gembira dengan permainan mereka hari ini (semalam)," katanya yang berada di sana bersama jurulatih perseorangan wanita, Rony Agustinus dan jurulatih beregu wanita, Lim Pek Siah.

Malaysia memperoleh mata pertama melalui gandingan beregu campuran, Wooi Yik Soh-Anna Cheong yang mengalahkan Jassiel Guardado-Mazee Hernandez-21-1, 21-6, manakala perseorangan lelaki, Cheam June Wei menang ke atas Uriel Canjura 21-5, 21-9.

Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei (gambar) pula tidak berdepan masalah menumpaskan Fatima Centeno 21-7, 21-6, manakala beregu lelaki, Goh Sze Fei-Tan Jinn Hwa mengalahkan Canjura-Guardado 21-1, 21-7.

Mata kelima negara diraih beregu wanita, M Thinaah-Teoh Mei Xing dengan menumpaskan Fatima-Mazee 21-5, 21-4.

Awal pagi ini skuad negara hanya akan berdepan Amerika Syarikat apabila Zambia menarik diri pada saat akhir kerana masalah visa.

Turut berada dalam kumpulan sama adalah India yang juga meraih kemenangan pertama dengan mengalahkan El Salvador 5-0 selain menang percuma berikutan penarikan diri Zambia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 1:50 PM