Zii Jia mudah atasi lawan. FOTO File NSTP
Zii Jia mudah atasi lawan. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


SKUAD badminton lelaki negara tidak berdepan masalah menewaskan Kazakhstan 5-0 dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina, hari ini.

Kemenangan berkenaan membolehkan mereka menempah tempat ke suku akhir dan bertemu India bagi penentuan juara Kumpulan B.

Ketua pasukan yang juga pemain nombor satu perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, berkata aksi sulung itu lebih kepada untuk mencari kesesuaian dengan gelanggang.

"Saya cuba untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk perlawanan esok. Saya harap rakan sepasukan mampu memberikan tentangan sengit berdepan India," katanya mengetepikan cabaran Dmitriy Panarin, 21-6, 21-12 bagi mata pertama negara.

Sementara Cheam June Wei pula menjadikan kedudukan 2-0 selepas mengalahkan Artur Niyazov 21-15, 21-11.

Perseorangan ketiga Leong Jun Hao mengesahkan kemenangan negara apabila mengambil masa 26 minit untuk menumbangkan Khaitmurat Kulmatov 21-13, 21-13.

Dalam aksi beregu lelaki, pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Niyazov-Panarin 21-11, 21-11, manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula mengetepikan Nikita Bragin-Kulmatov 21-9, 21-4.

Bagi memburu juara kumpulan India sudah pasti akan membariskan pemain terbaik mereka seperti B Sai Praneeth, K Srikanth dan HS Prannoy untuk perseorangan lelaki.

Bagaimanapun, mereka masih mempunyai pemain remaja yang sedang meningkat naik Lakshya Sen selain mempertaruhkan gandingan nombor 10 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 3:36 PM