AKSI Aidil ketika menentang Niyazov. FOTO Aswadi  Alias
AKSI Aidil ketika menentang Niyazov. FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat


Shah Alam: Skuad lelaki negara tidak berdepan masalah menepati ramalan mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BATC) apabila mudah membelasah Kazakhstan 5-0 di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Biarpun merehatkan sebahagian besar pemain utama, skuad negara dilihat tidak berdepan masalah menjinakkan lawan.

Aidil Soleh diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama menggantikan Lee Zii Jia mudah menundukkan Artur Niyazov 21-11, 21-12 dalam masa 26 minit.

Manakala Lim Chong King yang diberi tanggungjawab sebagai pemain kedua pula hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan Khaitmurat Kulmatov 21-11, 21-11.

Sementara Kok Jing Hong yang turun berdepan Makhsut Tajibullayev menang 21-8, 21-4 dalam masa 20 minit.

Bagi Aidil peluang beraksi dalam acara berpasukan amat bermakna kerana belum pernah diturunkan sebelum ini biarpun berada dalam pasukan.

"Ini pengalaman pertama saya beraksi dalam acara berpasukan. Memang ada sedikit gementar dan kaku pada mulanya biarpun lawan tak lah sukar sangat. Pada awal permainan saya rasa agak tidak selesa sebab ini kali pertama saya bermain di stadium yang besar dan dengan keadaan tiupan angin yang tidak menentu menyebabkan saya ambil masa untuk sesuaikan diri.

"Hanya selepas 11 mata baru saya dapat semula rentak dan selesa dengan corak permainan saya," katanya.

Dalam acara beregu Man Wei Chong-Tee Kai Wun hanya memerlukan 17 minit untuk menjinakkan Jangir Ibrayev-Ilya Lysenko 21-5, 21-5.

Goh Sze Fei-Izzuddin Nur melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menewaskan Andrey Shalagin-Makhsut Tajibullayev 21-8, 21-4 dalam masa 15 minit. Esok skuad negara akan turun melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan B menentang Jepun dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky percaya Malaysia mampu untuk muncul juara kumpulan sekali gus menewaskan negara matahari terbit itu.

Malaysia dan Jepun dilabel sebagai dua pasukan pilihan daripada Kumpulan B untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 8:16 PM