KEBAKARAN yang membabitkan lima rumah dan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Kundor. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN yang membabitkan lima rumah dan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Kundor. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas susulan kebakaran membabitkan lima rumah dan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Kundur, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, remaja lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan lanjut.

"Kami menerima laporan berhubung kebakaran itu pada 2.03 petang. Sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja dan BBP Alor Setar, dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jalan Kilang Tebu, Simpang Empat, Jalan Kundur dan Jalan Kuala Kedah menjalankan operasi pemadaman.

"Anggaran kemusnahan dalam kebakaran itu adalah 40 sehingga 90 peratus membabitkan semua rumah. Kereta Proton Wira itu pula terbakar 70 peratus," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal 3.05 petang dan dipadam sepenuhnya 7.35 malam.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 12:15 AM