TANG Jie (kanan) dan Ee Wei perlu mengumpul mata maksimum untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dunia. FOTO ARKIB NSTP
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei perlu mengumpul mata maksimum untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dunia. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengharapkan anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dapat mencatat keputusan terbaik apabila turun ke gelanggang di Masters Thailand di Bangkok, esok.

Jelas, beliau tidak berpuas hati dengan aksi ditampilkan beregu nombor sembilan dunia itu apabila kecundang seawal pusingan kedua dalam tiga kejohanan berturut-turut sebelum ini iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.

"Sudah tentu saya tidak berpuas hati dengan keputusan mereka dalam tiga kejohanan awal tahun ini.

"Jika keadaan begini berterusan, sukar untuk kita masuk dalam kelompok lima atau lapan terbaik," katanya.

Nova menggesa Tang Jie-Ee Wei untuk melangkah jauh di Masters Thailand bagi membolehkan mereka mengutip mata maksimum, seterusnya menembusi kelompok lapan teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Berdasarkan keputusan dalam tiga kejohanan terdahulu, saya perlu realistik untuk Masters Thailand dan berharap mereka dapat mara lebih jauh dan tambah mata bagi berada dalam kelompok lapan teratas.

"Tang Jie-Ee Wei perlu bekerja lebih keras kerana beregu lain sudah mula membaca permainan mereka. Bagi saya, ini sangat penting untuk kita bersiap sedia ke arah jelajah Eropah," katanya.

Menjelang aksi pusingan pertama esok, Tang Jie-Ee Wei yang turun sebagai pilihan kedua kejohanan dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan beregu Australia, Kenneth Choo-Gronya Somerville.

Sementara itu, Nova menjelaskan, kelompok lapan teratas penting buat Tang Jie-Ee Wei bagi memastikan mereka turun sebagai pemain pilihan dalam setiap kejohanan terutama di Seluruh England, Mac nanti.

"Sudah tentu penting (lapan teratas) kerana sekurang-kurangnya kita tidak bertemu beregu terbaik di pusingan awal.

"Bagaimanapun, setiap perlawanan sukar, lebih-lebih lagi dalam kejohanan Super 1000," ujarnya.

Bakal menyertai Tang Jie-Ee Wei ke undian utama ialah Choong Hon Jian-Go Pei Kee yang menang aksi kelayakan hari ini selepas mengalahkan gandingan Israel, Misha Zilberman-Svetlana Zilberman 21-13, 21-5.

Bagaimanapun, beregu lelaki negara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe terkandas di pusingan kelayakan apabila kalah 18-21, 21-19, 17-21 di tangan Tanadon Punpanich-Wachirawit Sothon dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 6:48 PM