TANG Jie dan Ee Wei tewas di pusingan kedua Terbuka Denmark.
TANG Jie dan Ee Wei tewas di pusingan kedua Terbuka Denmark.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto kekal percaya anak didiknya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di landasan tepat untuk mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Meskipun tersingkir di pusingan kedua Terbuka Denmark semalam selepas tewas kepada beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 15-21, 12-21, Nova berkeyakinan prestasi Tang Jie-Ee Wei akan terus meningkat.

"Prestasi mereka masih belum stabil tetapi di landasan tepat untuk capai apa yang kita mahukan. Apa yang saya mahu lihat selepas ini adalah mereka terus menunjukkan peningkatan.

"Saya juga harap mereka lupakan kekalahan di Denmark dan fokus untuk menghadapi saingan Terbuka Perancis, minggu depan," kata Nova.

Jelas jurulatih dari Indonesia itu, meskipun Tang Jie-Ee Wei menunjukkan perkembangan positif sepanjang saingan tahun ini termasuk berjaya menempatkan diri dalam ranking 10 terbaik dunia, namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki kedua-dua pemain itu.

Minggu lalu, Tang Jie-Ee Wei berjaya mengatasi lawan yang sama ketika aksi suku akhir Terbuka Artik di Vantaa, Finland.

Sementara itu, Nova menafikan punca kepada kekalahan Tang Jie-Ee Wei semalam adalah kerana faktor keletihan selepas mengharungi kejohanan berturut-turut.

"Beregu Thailand itu bermain dengan lebih baik, Tang Jie-Ee Wei pula dilihat kurang sabar dan terburu-buru ketika serangan yang menyebabkan mereka banyak melakukan kesilapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 6:01 PM