KEKALAHAN Tang Jie-Ee Wei berpunca daripada permainan mereka yang menurun di set kedua. FOTO ASWADI ALIAS
KEKALAHAN Tang Jie-Ee Wei berpunca daripada permainan mereka yang menurun di set kedua. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu segera bangkit dalam usaha mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang kini belum terjamin sepenuhnya.

Ia selepas jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui pencapaian pasangan nombor sembilan dunia itu dalam tiga kejohanan pertama musim ini tidak bagus apabila tersingkir awal dan beliau perlu segera mencari formula bagi melonjakkan semula prestasi mereka.

Tiga kejohanan yang dimaksudkan Nova itu adalah Terbuka Malaysia, Terbuka India serta terbaru Masters Indonesia, yang menyaksikan pasangan negara itu tewas di tangan pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-12, 13-21, 14-21 pada pusingan kedua, semalam.

"Kekalahan Tang Jie-Ee Wei berpunca daripada permainan mereka yang menurun di set kedua dan kurang bersedia dengan perubahan corak permainan yang ditampilkan Rehan-Lisa selain mereka dilihat selalu tertekan.

"Memang sekarang lawan sudah membaca corak permainan Tang Jie-Ee Wei dan masalah ini perlu segera diatasi.

"Selaku jurulatih, saya perlu mencari jalan bagi membantu Tang Jie-Ee Wei keluar daripada masalah ini supaya mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik dalam kejohanan seterusnya," kata Nova.

Jelas jurulatih dari Indonesia itu, Tang Jie-Ee Wei akan menyertai saingan Masters Thailand di Bangkok dari 30 Januari hingga 4 Februari ini.

"Buat masa ini, mereka tetap akan menyertai Masters Thailand kerana kita belum 100 peratus terjamin ke Olimpik.

"Memang secara mentalnya tidak mudah kerana keputusan dalam tiga kejohanan awal tidak bagus tetapi mereka perlu segera bangkit dan buat persiapan ke Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 2:49 PM