TAN Jie (kanan) dan Ee Wei tewas di pusingan -ertama Terbuka Indonesia. FOTO Badminton Photo
TAN Jie (kanan) dan Ee Wei tewas di pusingan -ertama Terbuka Indonesia. FOTO Badminton Photo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Peningkatan mendadak yang dipamerkan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bukan tiket buat kedua-dua pemain berkenaan berada dalam zon selesa.

Menurut jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menyifatkan perjalanan kedua-dua pemain itu masih jauh dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya fikir untuk layak ke Olimpik Paris, perjalanan mereka masih jauh dan mereka perlu konsisten menghasilkan keputusan yang positif dalam setiap kejohanan disertai," kata Nova.

Tang Jie-Ee Wei yang mempamerkan peningkatkan prestasi mendadak dan menduduki ranking ke-17 dunia biarpun hanya mula digandingkan pada November tahun lalu.

Mereka kini bergelar beregu campuran kedua terbaik negara di belakang pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie yang berada di kedudukan nombor lapan dunia.

Tang Jie-Ee Wei yang meraih dua gelaran musim ini dengan menjuarai Cabaran Antarabangsa Iran dan Masters Orleans memintas satu lagi gandingan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang jatuh di kedudukan ke-18 dunia.

Perkembangan terbaru itu meletakkan Tang Jie-Ee Wei di landasan tepat untuk menembusi kelompok lapan terbaik dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, jurulatih dari Indonesia itu mengakui beliau bimbang dengan prestasi tidak konsisten anak buahnya terutama selepas tersingkir awal di Terbuka Indonesia.

Tang Jie-Ee Wei terkandas di pusingan pertama Terbuka Indonesia, semalam selepas tewas di tangan pasangan Jepun, Hiroki Mirodikawa-Natsu Saito 17-21, 21-15, 17-21.

Minggu lalu, pasangan negara itu cemerlang apabila berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir Terbuka Singapura sebelum tewas kepada naib juara dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

"Selepas beberapa kejohanan, mereka dilihat tidak mempamerkan prestasi sebenar mereka setiap kali beraksi menentang pasangan yang sepatutnya mereka boleh menang (Mirodikawa-Natsu Saito).

"Mereka seharusnya lebih yakin dan tidak takut kalah, mungkin melihat kepada peluang tinggi dan boleh menang membuatkan mereka tidak menunjukkan permainan sebenar mereka. Ini sesuatu yang perlu diatasi," kata Nova.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 2:23 PM