TANG Jie (kiri) dan Ee Wei pamer aksi cemerlang di Thailand Masters. FOTO ASWADI ALIAS
TANG Jie (kiri) dan Ee Wei pamer aksi cemerlang di Thailand Masters. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mendapat tonik berharga apabila berjaya menempah tempat ke separuh akhir Thailand Masters.

Kejayaan mara ke separuh akhir itu pastinya menaikkan kembali motivasi mereka untuk mengukuhkan kedudukan ke temasya Olimpik selepas aksi kurang konsisten di tiga kejohanan sebelum ini.

Dalam aksi di suku akhir itu, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan pilihan kedua kejohanan menewaskan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek straight set 21-12, 25-23.

Tang Jie-Ee Wei tidak berdepan masalah apabila meraih kemenangan mudah di set pertama namun bergelut di set kedua apabila lawan berjaya mengajak permainan sehingga ke mata dius.

Kombinasi pasangan yang digandingkan pada November 2022 itu bagaimanapun berjaya menoktahkan kemenangan dalam tempoh 40 minit apabila menang 25-23 di set kedua.

Bagi jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, kejayaan mereka mara ke separuh akhir itu sekurang-kurangnya dapat meniup kembali keyakinan dalam diri mereka.

"Saya harap mereka boleh terus maju dan kemenangan mereka dapat semula keyakinan yang hilang selepas kalah di tiga kejohanan sebelum ini," katanya.

Mereka akan berdepan sama ada pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai ataupun beregu dari Jepun, Kyohei Yamashita- Naru Shinoya bagi penentuan tempat ke final.

Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen 2024 dengan terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia sebelum turut mengalami nasib sama di Terbuka India dan Indonesia Masters.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 8:02 PM