JUSTIN perlu mengambil cabaran ini dan belajar bagaimana untuk menghadapi segala tekanan. FOTO NSTP
JUSTIN perlu mengambil cabaran ini dan belajar bagaimana untuk menghadapi segala tekanan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran dan Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan muda negara, Justin Hoh berpeluang untuk membuktikan keupayaannya apabila terpilih membarisi skuad negara untuk mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) bermula 13 hingga 18 Februari depan.

Pemilihan Justin agak mengejutkan kerana ia bermaksud nama seorang lagi pemain lebih berpengalaman, Leong Jun Hao terpaksa diketepikan pada saingan kali ini.

Selain Justin, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyenaraikan seorang lagi pemain muda, Eogene Ewe bersama dua lagi pemain berpengalaman, iaitu pemain profesional, Lee Zii Jia serta Ng Tze Yong.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock berkata, sudah tiba masanya peluang diberikan kepada pemain lebih muda selepas banyak peluang sudah diberikan kepada Jun Hao.

"Jika kami tidak beri peluang sekarang, sampai bila lagi nak bagi peluang kepada mereka. Bagi saya ini satu cabaran kepada barisan pemain remaja meyakinkan barisan jurulatih.

"Macam Justin, bukan mudah untuknya jika diberi tanggungjawab selaku perseorangan ketiga negara. Jadi mereka perlu mengambil cabaran ini dan belajar bagaimana untuk menghadapi segala tekanan," katanya pada sidang media pengumuman senarai pemain BATC, hari ini.

Mengulas tahap pemulihan Justin selepas terpaksa berehat panjang sebelum ini berikutan kecederaan putus achilles tendon pada kaki kirinya April tahun lalu sebelum mengalami kecederaan di tapak kaki pula, Seu Bock berkata, pemain negara itu sememangnya belum pulih sepenuhnya.

"Ia adalah proses (pemulihan) yang memakan masa. Bagi Justin, mungkin lebih sukar untuknya kerana selepas sesi latihan, dia perlu buat rehab. Dia akan menyertai kejohanan di Thailand dan Sri Lanka sebelum beraksi di BATC.

"Sudah tentu ada peluang (ke Piala Thomas), sebab itu kami beri peluang kepada barisan pemain muda ini membuktikan keupayaan mereka bagi membolehkan kami membuat pemilihan untuk skuad Piala Thomas," katanya.

Sementara itu, beregu negara pula akan dibarisi oleh gandingan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta Choong Hon Jian-Haikan Nazri.

Skuad lelaki negara muncul juara kali pertama pada edisi dua tahun lalu selepas menewaskan Indonesia 3-0 di pentas final di venue sama iaitu Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 2:13 PM