ZII Jia akan menentang Nishimoto pada aksi suku akhir Piala Thomas, petang ini. FOTO BERNAMA
ZII Jia akan menentang Nishimoto pada aksi suku akhir Piala Thomas, petang ini. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia akan mengetuai skuad Piala Thomas negara menentang Jepun pada aksi suku akhir di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China, petang ini.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan sebentar tadi, Zii Jia akan berdepan Kenta Nishimoto yang diturunkan selaku perseorangan pertama Jepun.

Berdasarkan rekod, tiada masalah buat pemain ranking ke-10 dunia itu untuk menyumbang mata pertama negara kerana dalam 10 perlawanan sebelum ini, tujuh aksi memihak kepada Zii Jia termasuk pertemuan terakhir ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Februari lalu.

Sementara itu, aksi beregu pertama dijangka sengit membabitkan pertembungan dua bekas juara dunia dengan Malaysia membariskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala Jepun mempertaruhkan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Hoki-Kobayashi memiliki kelebihan apabila menang tujuh daripada sembilan pertemuan sebelum ini termasuk dua aksi terakhir di Terbuka Jepun dan Jelajah Dunia Akhir BWF, tahun lalu.

Bagi aksi perseorangan kedua, Malaysia menurunkan Leong Jun Hao yang akan menentang Koki Watanabe.

Jun Hao yang berada di ranking ke-37 memegang rekod kemenangan 2-1 ke atas Watanabe di kedudukan ke-22 dunia termasuk mengatasi lawan itu ketika saingan BATC pada Februari lalu.

Aksi beregu kedua pula menyaksikan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berdepan Taichi Saito-Akira Koga, namun rekod pertemuan memihak kepada pasangan negara Matahari Terbit itu selepas memenangi semua tiga perlawanan sebelum ini.

Jika kedudukan terikat 2-2 bakal menjadi penentu ialah perseorangan ketiga yang boleh diibaratkan pertemuan langit dan bumi, apabila Malaysia menyandarkan harapan kepada Justin Hoh dan Jepun menurunkan bekas juara dunia dua kali, Kento Momota.

Lebih menarik kedua-duanya belum bertemu sesama sendiri sebelum ini dan Justin harus mengambil kesempatan di atas penurunan prestasi Momota yang bakal bersara sebaik berakhir saingan Piala Thomas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 3:42 PM