TZE YONG disahkan belum cergas untuk bersama skuad Piala Thomas negara di Chengdu. -FOTO NSTP
TZE YONG disahkan belum cergas untuk bersama skuad Piala Thomas negara di Chengdu. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sah tidak akan menyertai skuad Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang berkata, keputusan menggugurkan Tze Yong kerana pemain itu masih belum cergas sepenuhnya susulan kecederaan belakang dialaminya.

Jelas Rexy lagi, pemain beregu lelaki negara, Choong Hon Jian akan menggantikan tempat pemain yang menduduki ranking ke-18 dunia itu.

"Selepas perbincangan dengan barisan jurulatih dan pengurusan, kita putuskan untuk menggugurkan Tze Yong. Keadaannya tidak memungkinkan dia boleh bermain.

"Jadi, kita memilih Hon Jian untuk menggantikan tempatnya kerana berdasarkan perbincangan dengan barisan jurulatih beregu dan perseorangan, kita melihat ada keperluan untuk kita menambah pemain beregu.

"Kita melihat beberapa kemungkinan yang pasukan perlukan untuk saingan Piala Thomas kali ini. Sekarang ini kita ada empat pemain perseorangan dan enam beregu," kata Rexy ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara, hari ini.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan belakang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu kemudian menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, yang sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun BAM tetap mengumumkan Tze Yong antara barisan pemain perseorangan lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas.

Selepas ketiadaan Tze Yong, skuad negara kini hanya mempunyai empat perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu akan diperkuatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Hon Jian.

Pada saingan di Chengdu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:09 PM