Pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh
Pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam diumumkan nama perseorangan lelaki, Justin Hoh terpaksa dikeluarkan dari senarai pemain di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 kerana mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan.

Menurut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataannya, menyatakan kecederaan dialami pemain berusia 19 tahun itu mungkin memerlukan sedikit masa untuk pulih menjelang kejohanan yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 18 Februari ini.

"BAM mengambil keputusan untuk mengeluarkan Justin dari skuad lelaki dan menyenaraikan Leong Jun Hao bagi menggalas cabaran negara untuk mengekalkan gelaran diraih pada edisi 2022.

"BAM memutuskan untuk memasukkan Leong Jun Hao sebagai pengganti. Justin dinasihatkan oleh pihak doktor untuk mengelak daripada menyertai sebarang pertandingan berintensiti tinggi dalam tempoh beberapa minggu," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky turut memaklumkan yang Justin akan menjalani proses pemulihan dan akan kembali apabila diberikan lampu hijau oleh doktor.

"Kami akan memantau keadaan semasa Justin. Kami berharap dia dapat sembuh dengan cepat dan kembali menyertai kejohanan tidak lama lagi," katanya.

Semalam, Rexy mengumumkan senarai pemain lelaki dan wanita negara yang akan beraksi pada saingan BATC kali ini dengan empat pemain perseorangan lelaki diketuai Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Justin dan Eugen Owe.

Beregu negara pula akan dibarisi gandingan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta Choong Hon Jian-Haikan Nazri.

Bagi skuad wanita pula empat pemain perseorangan dipertaruhkan iaitu Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching, manakala beregu dibarisi Pearly Tan-M Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 12:36 PM