AKSI Jun Hao ketika menentang pemain China Weng Hong Yang.
AKSI Jun Hao ketika menentang pemain China Weng Hong Yang.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock berpuas hati melihat prestasi Leong Jun Hao sepanjang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) meskipun Malaysia gagal muncul juara buat kali kedua berturut-turut.

Menurut Seu Bock, kecederaan dialami dua pemain utama perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong membolehkan Jun Hao diberikan peranan dan masa bermain lebih banyak sekali gus dapat menunjukkan sesuatu di dalam gelanggang.

"Prestasi dia (Jun Hao) agak memberangsangkan dari segi permainan dan sikap ditunjukkan. Ketiadaan Zii Jia dan Tze Yong, dia bangkit tunjukkan dia boleh galas tempat mereka dan ini bagus untuk dia kerana sebelum ini orang ingat dia macam yo-yo (prestasi).

"Saya harap bukan hanya untuk acara berpasukan tetapi untuk acara perseorangan pun sama. Kita sebagai jurulatih boleh beri arahan semua tapi yang bermain itu adalah pemain.

"Jangan fikir ini acara berpasukan untuk Malaysia, saya perlu berikan yang terbaik tapi bila pergi acara individu, ini untuk diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Seu Bock turut mengulas mengenai keadaan semasa Tze Yong di mana beliau juga sedang menanti laporan penuh dari pasukan perubatan untuk melihat secara teperinci.

Malah, perancangan teliti juga akan dilakukan agar pemain yang berada di ranking ke-15 dunia ini mampu layak ke Olimpik Paris 2024.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan skuad badminton lelaki negara tidak berjaya mempertahankan kejuaraan BATC selepas tumpas 0-3 kepada China dalam perlawanan akhir di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) semalam.

Ketiadaan dua perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong jelas sekali memberi kesan, sehingga membolehkan negara Tembok Besar itu mencipta sejarah merangkul kejuaraan kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 3:44 PM