JUN Hao dijangka berdepan Ka Long Sabtu ini.
JUN Hao dijangka berdepan Ka Long Sabtu ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock percaya Leong Jun Hao mampu menggalas tugas lebih berat di saingan Piala Thomas dekat Chengdu, China selepas ketiadaan Ng Tze Yong.

Jun Hao dilihat tidak mempunyai pilihan lain selain perlu menggalas tugas selaku perseorangan kedua atau mungkin pertama selepas Tze Yong digugurkan kerana belum cergas sepenuhnya.

Seu Bock berkata, berdasarkan kepada pemerhatiannya, Jun Hao sudah melakukan persiapan rapi sepanjang menyertai kem latihan pusat sejak minggu lalu sebaik mengetahui ketiadaan Tze Yong pada edisi kali ini.

Jun Hao yang juga bekas juara remaja Asia, dijangka akan berdepan tugas sukar menentang Ng Ka Long pada aksi pertama Kumpulan D bertemu Hong Kong, Sabtu ini dengan kedua-duanya belum pernah bertemu.

"Setakat ini, dia menunjukkan peningkatan yang cukup bagus. Pada awalnya dia memikul tugas selaku perseorangan ketiga, namun sekarang tanggungjawabnya adalah sebagai perseorangan kedua dan mungkin pertama.

"Dia sudah bersedia sepenuhnya dari segi psikologi. Kita tidak tahu dia akan jumpa siapa, mungkin Ka Long (menentang Hong Kong) dan mereka tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.

"Semua orang sudah tentu jangka Ka Long menang, jadi bagi saya, Jun Hao tidak akan berdepan tekanan. Dia akan turun dan buktikan dia mampu melakukannya kerana peluang adalah 50-50," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Chengdu, semalam.

Skuad negara tidak seharusnya mensia-siakan peluang meraih kemenangan ke atas Hong Kong kerana ia akan mencerahkan misi untuk mara ke pusingan kalah mati.

Selain Hong Kong, skuad negara juga akan bertemu Algeria pada Ahad ini serta juara edisi 2016, Denmark, 30 April nanti.

"Kita sudah tetapkan fikiran masing-masing biarpun sesukar mana perlawanan itu nanti. Undian sudah dibuat, jadi tidak ada pilihan selain berdepan cabaran itu, begitu juga dengan negara lain yang berada dalam situasi seperti kita," kata Seu Bock.

Selain Jun Hao, pemain perseorangan negara turut dibarisi oleh perseorangan utama, Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 2:29 PM