JUNE Wei berada dalam radar namun keputusan muktamad masih belum diputuskan. FOTO ABDULLAH YUSOF
JUNE Wei berada dalam radar namun keputusan muktamad masih belum diputuskan. FOTO ABDULLAH YUSOF
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berusaha membentuk pasukan yang mantap bagi menghadapi kempen Piala Thomas 2024, apabila kelibat pemain profesional, Cheam June Wei kelihatan menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Situasi itu menimbulkan persoalan keadaan terkini Ng Tze Yong yang masih belum pulih daripada kecederaan selain Lee Zii Jia kini sibuk dengan persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock berkata, June Wei berada dalam radar namun keputusan muktamad masih belum diputuskan kerana tarikh akhir pendaftaran pemain ke kejohanan berpasukan berprestij dunia di Chengdu itu tamat pada 14 April ini.

"Masih belum ada senarai akhir. Tapi kita akan senaraikan pemain perseorangan terbaik. Ini bukan pendedahan.

"Kita juga sedang menunggu kata putus daripada pasukan Zii Jia," katanya.

Mengulas mengenai keadaan terkini Tze Yong, Seu Bock berkata, Tze Yong memerlukan masa sekurang-kurangnya enam minggu selepas pembedahan kecil untuk cergas namun perkara paling getir dialami pemain nombor 18 dunia itu adalah perasaan trauma.

"Bagi saya tahap trauma Tze Yong lebih teruk daripada Datuk Lee Chong Wei dulu. Ini disebabkan kekuatan fizikal antara kedua-dua pemain itu berbeza.

Chong Wei kuat manakala Tze Yong sebaliknya," ujar Seu Bock lagi.

Tze Yong, 23, mengalami kecederaan belakang pada saingan Terbuka Malaysia, Januari lalu, sekali lagi mengalami kesakitan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada Februari sehingga menjalani pembedahan, sekali gus memaksanya akur terlepas tiket ke Paris 2024.

Sementara itu, legenda badminton negara, Chong Wei terseliuh kaki, ketika memperkuat pasukan pada saingan Piala Thomas, Mei 2012 di Wuhan, China, berjaya bangkit dari trauma dan merangkul pingat perak Sukan Olimpik London.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia berada satu kumpulan bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 10:28 PM