AKSI Sze Fei dan Nur Izzuddin ketika di Terbuka Malaysia awal bulan ini. FOTO EFFENDY RASHID
AKSI Sze Fei dan Nur Izzuddin ketika di Terbuka Malaysia awal bulan ini. FOTO EFFENDY RASHID
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen beranggapan prestasi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani belum berada di tahap maksimum.

Sebaliknya, beliau percaya, Sze Fei-Izzuddin yang sudah bergandingan semula pada tahun lalu selepas kedua-dua pemain itu membawa haluan masing-masing, pasangan itu mampu meningkatkan prestasi mereka ke tahap lebih baik pada kejohanan akan datang.

Jelasnya, prestasi Sze Fei-Izzuddin di awal tahun ini agak mengecewakan apabila mereka kandas awal di Terbuka Malaysia, Terbuka India serta terbaru di Masters Indonesia.

"Untuk mengatakan prestasi mereka sudah capai tahap maksimum, hanya mereka berdua sahaja yang dapat merasainya.

"Bagi saya, selepas mereka digandingkan sebelum berpisah dan digandingkan semula, mereka pasti mempunyai sasaran tertentu. Jadi saya tidak mahu mengatakan prestasi mereka sudah tak boleh (pergi) lagi.

"Saya rasa mereka masih ada peluang untuk meningkatkan prestasi permainan mereka. Tapi segala-galanya terpulang kepada mereka sendiri," katanya.

Meskipun melalui prestasi yang tidak menentu, Sze Fei-Izzuddin tetap diberi kepercayaan membarisi skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang akan berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.

Selain mereka, turut membarisi beregu negara adalah bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Choong Hon Jian-Haikan Nazri.

Manakala pemain perseorangan diketuai oleh Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Owe.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 3:23 PM