AARON (kiri) dan Wooi Yik tewas di suku akhir Terbuka Malaysia yang berakhir semalam. FOTO EFFENDY RASHID
AARON (kiri) dan Wooi Yik tewas di suku akhir Terbuka Malaysia yang berakhir semalam. FOTO EFFENDY RASHID
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui ada jurang membabitkan pemain negara dan lawan lain berdasarkan keputusan dicapai selepas Terbuka Malaysia berakhir semalam.

Episod sama berulang apabila buat tahun kedua berturut-turut, tiada seorang pun wakil negara mara ke separuh akhir atau final, kali ini.

Pada edisi tahun lalu pencapaian terbaik adalah menerusi Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terkandas di suku akhir.

Kali ini, Ee Yi-Yew Sin serta beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut terkandas di suku akhir.

Norza berkata, satu perbincangan sudah dilakukan bersama Pengerusi Road To Gold (RTG) iaitu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Setiausaha Agung BAM; Datuk Kenny Goh dan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky untuk mencari jalan terbaik bagi merapatkan jurang berkenaan.

Justeru, beliau meluahkan keyakinan dengan bantuan daripada RTG serta apa yang BAM berikan, kita mampu mencapai kejayaan lebih baik lagi selepas ini.

"Kita sudah nampak apa yang perlu dibuat untuk rapatkan jurang itu antaranya pendekatan sains sukan dan analisis terperinci.

"Pemain harus fokus dan buat persediaan lebih rapi dan apa yang penting kita mahu pemain sampai ke kemuncak ketika Olimpik Paris 2024. Kita tak mahu mereka berjaya sekarang tapi gagal kemudian," katanya.

Mengakui ada rasa kecewa atas kegagalan di Terbuka Malaysia, namun jika melihat secara keseluruhannya keputusan yang dicapai pemain tidak begitu teruk kerana ada beberapa kuasa besar Asean (Asia Tenggara) gagal mara ke separuh akhir dan final.

"Melihat secara lebih terperinci, saya tak bimbing dengan Aaron-Wooi Yik dan puas hati dengan prestasi mereka.

"Mereka antara lima terbaik dunia dan bila-bila masa saja akan ada pasangan lain yang boleh menewaskan satu sama lain.

"Yang tentukan kejayaan itu adalah tuah, kekuatan mental serta persediaan kita. Kita bagi mereka tempoh untuk sampai kemuncak di Olimpik sebab tak guna juara di sini dan selepas juara, prestasi mereka menurun," katanya.

Pada edisi kali ini, Aaron-Wooi Yik tewas kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-16, 18-21, 13-21 dan Yew Sin-Ee Yi tunduk kepada beregu Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 9-21 di suku akhir.

Begitupun Norza mengharapkan sokongan berterusan buat pemain negara.

Ini kerana, katanya, barisan pemain seperti Pearly Tan-M Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sudah berada di landasan tepat dan tahu apa perlu mereka lakukan, cuma nasib tidak menyebelahi Ng Tze Yong yang cedera belakang dan terpaksa menarik diri di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 2:36 PM