WEE Kiong (kiri) dan V Shem melakar permulaan terbaik sebagai pemain profesional apabila muncul juara Masters Thailand, semalam. FOTO Arkib NSTP.
WEE Kiong (kiri) dan V Shem melakar permulaan terbaik sebagai pemain profesional apabila muncul juara Masters Thailand, semalam. FOTO Arkib NSTP.
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seharusya tercabar berikutan kejayaan pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong muncul juara Masters Thailand, semalam.

Walaupun masih terlalu awal untuk mengukur tahap kemampuan sebenar V Shem-Wee Kiong sebagai profesional selepas meninggalkan BAM awal bulan ini, namun mereka meletakkan penanda aras positif.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman, berkata pencapaian V Shem-Wee Kiong harus menjadi motivasi buat barisan pemainnya untuk melakar kejayaan sama, sekali gus mewujudkan persaingan sihat terutama bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada saingan di Bangkok, pencapaian terbaik dilakar beregu kebangsaan adalah menerusi Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang berjaya melangkah sehingga separuh akhir. 

Dua lagi pasangan, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Aron Chia-Soh Wooi Yik masing-masing tersingkir di suku akhir dan pusingan kedua.

Nasib kurang baik buat Ee Yi-Yew Sin apabila menyaksikan mereka tewas kepada V Shem-Wee Kiong.

“Apa yang saya lihat, mereka sebenarnya bermain dengan baik. Cuma Ee Yi-Yew Sin kurang bernasib baik kerana bertemu V Shem-Wee Kiong di suku akhir, mereka sebelum ini menjalani latihan bersama dan sudah tahu permainan masing-masing.

“Apapun, diharapkan pemain saya menjadikan kejayaan V Shem-Wee Kiong sebagai motivasi buat mereka. Mereka juga perlu tunjuk dan buktikan yang mereka boleh bersaing dengan sihat,” kata Paulus ketika ditemui selepas sesi latihan menjelang saingan Masters Malaysia bermula esok di Arena Axiata Bukit Jalil.

Pada saingan Masters Malaysia, hanya Eei Yi-Yew Sin dan Aaron-Wooi Yik daripada pemain BAM yang layak beraksi untuk kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu.

Ee Yi-Yew Sin akan memulakan cabaran menentang pilihan kelapan dari Taiwan, Liao Min Chun-Su Ching Heng manakala Aaron-Wooi Yik bertemu pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge.

Dalam pada itu, Paulus sama sekali tidak terkilan dengan gelaran juara diraih V Shem-Wee Kiong selepas mereka mengambil keputusan untuk bergerak secara profesional.

Katanya, sebagai bekas jurulatih, dia berbangga dengan pencapaian itu dan berharap mereka dapat beraksi secara konsisten dalam kejohanan akan datang.

“Saya tidak ada rasa kecewa atau terkilan apabila mereka menjadi juara selepas menjadi pemain bebas kerana bagi saya ia sesuatu yang sangat baik dan saya berharap agar kejayaan itu dapat diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 3:30 PM