LEE Zii Jia. FOTO Aswadi Alias
LEE Zii Jia. FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan bertaut kembali?

Ketika ini terdapat perkhabaran bahawa pasukan Road to Gold (RTG) bukan hanya berperanan sebagai membantu atlet meraih emas di Olimpik namun turut bertanggungjawab membawa kembali Zii Jia ke pangkuan BAM.

Langkah itu adalah bagi membolehkan Zii Jia yang juga pemain nombor empat dunia mendapat semua bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus menjelmakan kilauan pingat di temasya terbesar dunia berkenaan.

Malah, menurut sumber, usaha berkenaan penting bagi memastikan Zii Jia yang berkemungkinan besar diletakkan dalam RTG mendapat bantuan dan kemudahan secukupnya untuk memastikan dia kembali ke tahap optimum.

"Ada kemungkinan akan bawa kembali Zii Jia ke BAM namun segalanya akan ditentukan menerusi perbincangan pasukan RTG," katanya.

Zii Jia ketika ini tidak menggunakan khidmat jurulatih selepas dia berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Zii Jia sebaik pemain itu pulang ke tanah air selepas tamat siri kejohanan di Eropah.

Kurang dua bulan sebelum pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris bermula pada 1 Mei depan, Zii Jia yang dilabel antara prospek pingat buat kontinjen negara bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila terkandas di pusingan awal dalam semua empat kejohanan yang disertainya musim ini.

Sebagai rekod, kali terakhir Zii Jia muncul juara adalah pada saingan Terbuka Thailand, Mei tahun lalu.

Juara Asia itu memulakan musim 2023 dengan hambar apabila tewas di pusingan pertama dan kedua dalam empat kejohanan disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia pada Januari lalu manakala yang terbaharu di Terbuka Jerman, Khamis lalu.

Malah, kemelut luar gelanggang yang tercetus antara dia dan Indra turut dikatakan menjadi salah satu faktor kemerosotan prestasinya.

Mengikut rekod, Zii Jia meninggalkan BAM untuk bergerak secara profesional pada Januari tahun lalu.

Jawatankuasa RTG akan dipengerusikan secara bersama oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dengan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam sebagai penyelarasan projek.

RTG akan memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri dalam misi menjelmakan kilauan emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Difahamkan, semua atlet yang terpilih untuk berada dalam program RTG perlu menandatangani kontrak sebagai komitmen bagi mendapat semua bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan untuk mereka melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 6:48 PM