ZII JIA memilih untuk berehat seketika. -FOTO NSTP
ZII JIA memilih untuk berehat seketika. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia masih diletakkan sebagai harapan untuk membawa pulang pingat emas buat negara di temasya Olimpik Paris.

Pengerusi bersama Road To Gold (RTG) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, walaupun ketika ini prestasi Zii Jia dilihat terumbang-ambing namun dia masih mempunyai peluang dan ruang untuk membuktikan kemampuannya kelak.

Beliau berkata, Zii Jia bersama seorang lagi pemain perseorangan negara Ng Tze Yong akan terus diberikan harapan menggalas cabaran untuk beraksi dalam acara terbabit di temasya empat tahun sekali itu.

"Zii Jia masih lagi harapan kita (dalam acara perseorangan lelaki). Kita bagi peluang kepada Zii Jia untuk berehat.

"Harapan dalam acara perseorangan lelaki masih lagi diletakkan kepada Zii Jia dan Tze Yong," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, walaupun peminat badminton tanah air mempersoalkan 'keberadaan' Tze Yong dalam RTG namun pemain itu dilihat relevan untuk berada dalam program berkenaan.

"Siapa lagi yang layak apabila proses kelayakan pemain badminton akan berakhir April tahun depan sudah tentu Tze Yong. Walaupun ada cakap-cakap Tze Yong beraksi tiga perlawanan tapi kurang menyerlah.

"Jangan kita perkecilkan atlet kita kerana mereka seperti 'frontliner'. Siapa lagi kita mahu harapkan sekali gus harap peminat sukan tanah air terus menyokong mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 12:39 PM