HANNAH (tengah) jelaskan perkara berkenaan akan diumumkan minggu depan. FOTO Bernama
HANNAH (tengah) jelaskan perkara berkenaan akan diumumkan minggu depan. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Putrajaya: Atlet yang tidak berada dalam Program Road To Gold (RTG) dan tiada dalam senarai Program Podium tetapi sudah layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris bakal menerima suntikan semangat apabila akan diberikan bantuan kewangan sebagai persediaan bersaing pada bulan Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sokongan lebih tertumpu kepada atlet yang bergerak secara bersendirian bagi meringankan kewangan mereka serta membolehkan atlet berkenaan melakukan persediaan lebih rapi dan dapat meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi sebelum melangkah ke temasya terbesar dunia itu nanti.

Selain itu, pemberian dari Jawatankuasa Program RTG sudah pasti dapat membantu atlet untuk merancang latihan mereka ke arah lebih baik berbanding sebelum ini yang dilihat agak bergelut dari segi kewangan.

"Untuk Program RTG, atlet-atlet itu sudah tersenarai. Cuma pada minggu hadapan, kita akan umumkan bantuan kewangan yang kita akan bantu atlet-atlet yang mewakili Malaysia tetapi mereka tak ada dalam Program RTG ataupun tak ada dalam Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN). Seperti badminton, pemain profesional yang akan pergi mewakili Malaysia. Perkara itu kita akan buat pengumuman minggu depan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Aakaun Satelit Sukan.

Antara atlet yang akan menerima bantuan kewangan dari Program RTG itu adalah dari sukan badminton iaitu pemain perseorangan lelaki dan wanita, Lee Zii Jia, Goh Jin Wei dan Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran) .

Selain empat atlet itu, beberapa atlet lain yang sudah layak adalah Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Terdahulu, beberapa atlet sudah mengesahkan kelayakan lebih awal antaranya Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, layak bagi acara pecut dan keirin, Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran) dan Johnathan Wong (menembak).

Mereka akan bersama-sama Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun) yang terlebih dahulu melayakkan diri ke Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 3:51 PM