HANNAH pada sidang media Road To Gold di MSN Bukit Jalil. FOTO FATHIL ASRI.
HANNAH pada sidang media Road To Gold di MSN Bukit Jalil. FOTO FATHIL ASRI.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan, tiada mana-mana atlet di dalam program Road To Gold (RTG) akan mendapat layanan kelas pertama.

Menurut Hannah, setiap atlet yang berada dalam program itu bakal diberi layanan sama rata kerana mereka menggalas misi sama, iaitu memenangi pingat emas pertama Olimpik buat kontinjen Malaysia.

"Kita tidak ada anak emas tertentu dalam program RTG, semua atlet adalah anak emas. Kita bagi elaun yang sama RM3,000 sebulan kepada semua atlet yang berada dalam program ini.

"Servis ISN (Institut Sukan Negara) juga kita beri kepada mereka bagi memastikan mereka ada peluang untuk berjaya," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Road To Gold di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan, pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia, akan terus dikekalkan dalam program itu selepas mengambil kira mata kelayakan ke Olimpik.

"Pertimbangan ini dibuat atas saranan teknikal berdasarkan ranking 'Road to Paris'. Kami sudah berhubung dengan Zii Jia dan jurulatih (Wong Tat Meng) selain akan ada perjumpaan awal Julai nanti.

"Amat penting untuk kami mengadakan pertemuan itu bagi mengetahui apa perancangan mereka selepas ini. Kemudian kami akan memberikan laporan kepada Jawatankuasa RTG," ujarnya.

Katanya lagi, jawatankuasa RTG turut mengesahkan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan terus dikekalkan dalam program selain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan beregu campuran kebangsaan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dibawa masuk ke program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 4:23 PM