JURULATIH beregu campuran negara Nova Widianto. -FOTO NSTP
JURULATIH beregu campuran negara Nova Widianto. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto ternyata pening kepala untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan barisan anak buahnya kembali menyinar pada kejohanan antarabangsa akan datang.

Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dilihat serba tidak menjadi sejak kebelakangan ini terutamanya selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut di pusingan kedua pada kejohanan badminton Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Pengendali dari Indonesia itu menganggap anak buahnya seperti hilang arah ketika tersingkir di pusingan kedua Terbuka Perancis Khamis lalu apabila gagal untuk menampilkan corak permainan sebenar.

Katanya, beregu yang berada di ranking ke sembilan dunia itu perlu bekerja keras berikutan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 masih berjalan sekali gus tiada jaminan mereka boleh menempatkan diri ke temasya sukan empat tahun sekali itu.

"Saya fikir belum sampai masa untuk mereka berada dalam keadaan santai kerana kelayakan ke Sukan Olimpik masih belum selamat. Mahu atau tidak, memang mereka perlu pergi ke setiap kejohanan.

"Selepas ini, akan rehat lebih kurang seminggu sebelum menyertai kejohanan Korea Masters. Pada masa sekarang, mereka memang ada peluang untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir nanti," katanya.

Sebelum ini, Tang Jie-Ee Wei gagal meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir Terbuka Perancis selepas tewas kepada beregu Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau menerusi aksi straight set 19-21, 15-21 dalam tempoh 42 minit.

Kekalahan itu nyata membuatkan Nova dibelenggu kecewa selain enggan menjadikan penyertaan berturut-turut di kejohanan sebagai salah satu punca anak buahnya gagal menampilkan aksi seperti diharapkan.

"Mereka bermain sangat teruk, seolah-olah pening mahu buat apa dalam gelanggang. Setiap kali ada peluang untuk melangkah jauh dalam mana-mana kejohanan, mereka sering berdepan keadaan seperti ini.

"Kalau nak cakap mereka sudah sampai had kerana bermain secara berturut-turut, pemain lain juga berdepan situasi sama. Jadi, ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan," ujarnya.

Mengikut rekod, Tang Jie-Ee Wei boleh dikatakan mengharungi aksi cukup cemerlang musim ini apabila sudah meraih tiga kejuaraan termasuk Cabaran Antarabangsa (IC) Iran, Orleans Masters dan Terbuka Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:30 PM