TAN Jie (kiri) dan Ee Wei meraikan kejayaan mereka. FOTO Badminton Photo
TAN Jie (kiri) dan Ee Wei meraikan kejayaan mereka. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan bahawa mereka kini antara beregu yang perlu diberikan perhatian apabila meraih gelaran ketiga tahun ini selepas berjaya menawan Terbuka Taiwan.

Pilihan keempat kejohanan itu tidak berdepan masalah menewaskan gandingan tuan rumah, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min 21-12, 21-8 pada aksi akhir yang berlangsung di Arena Tian Mu.

Tang Jie-Ee Wei bermula dengan baik di set pertama apabila mendahului 17-8 sebelum menang 21-12.

Memasuki set kedua, aksi tangkas pasangan negara yang dikenali Gangster Duo itu semakin sukar dihalang apabila jauh meninggalkan lawan untuk mendahului 18-6 seterusnya menamatkan perlawanan dalam tempoh 30 minit.

Kemenangan itu dilihat satu yang positif buat jurulatih, Nova Widianto dan mengakui biarpun ia kejohanan bertaraf Super 300, namun ia bukan sesuatu yang mudah buat Tang Jie-Ee Wei.

"Bukan senang untuk menang hari ini sebab mereka sudah bermain enam kejohanan berturut-turut tapi saya gembira mereka tetap fokus.

"Corak yang dipamerkan mereka juga bagus dan dari awal lagi mereka tidak membenarkan lawan untuk menguasai perlawanan.

"Dan aksi hari ini adalah adalah hasil evolusi saya di Terbuka Indonesia dan sepanjang di Taiwan ini mereka bermain dengan cukup baik dan lebih fokus serta kurang melakukan kesalahan," katanya.

Kejayaan mereka itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM77,583).

Kali terakhir beregu campuran negara meraih gelaran di Taiwan adalah pada 2004 menerusi Koo Kien Keat-Wong Pei Tty.

Sebagai rekod ia adalah gelaran ketiga buat Tang Jie-Ee Wei musim ini selepas turut memenangi Cabaran Antarabangsa Iran pada Februari dan Masters Orleans, April lalu.

Kejayaan itu sememang membuktikan mereka wajar disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) biarpun kini berada di kedudukan ranking ke-19 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 1:34 PM