NORZA pada sidang media di Bukit Kiara, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
NORZA pada sidang media di Bukit Kiara, hari ini. FOTO FATHIL ASRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini membuat kejutan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk sebaik sahaja tahun 2023 berakhir.

Keputusan itu tidak didorong oleh mana-mana pihak malah ia tiada kaitan dengan isu yang membabitkan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek dan BAM ketika ini.

Norza dalam satu sidang media khas sebentar tadi bagi menjawab tuduhan Misbun itu berkata, keputusan itu diambil selepas beliau memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya memacu BAM.

"Pada kesempatan ini, saya ingin maklumkan bahawa saya akan melepaskan jawatan selaku Presiden BAM hujung tahun ini. Keputusan ini tidak didorong oleh apa-apa sebab dan tiada kaitan dengan apa yang berlaku ketika ini.

"Saya melihat perkara ini perlu dilakukan kerana sudah ada individu yang layak untuk mengambil alih tugas saya di BAM," katanya.

Norza sebelum ini membuat pengumuman bahawa akan mengundur diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024 pada 15 Julai lalu kerana mahu memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

"Kenapa perlu tunggu jika sudah ada calon berpotensi. Saya sudah ada dua tiga nama yang berpotensi (ambil alih jawatan) dan nama-nama tersebut sudah diserahkan kepada majlis," katanya.

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Untuk rekod, Norza mula mengambil alih tampuk nombor satu BAM pada 2017 bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 7:22 PM