NORZA berkata keputusan itu diambil selepas beliau memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya memacu BAM. FOTO FATHIL ASRI
NORZA berkata keputusan itu diambil selepas beliau memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya memacu BAM. FOTO FATHIL ASRI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keputusan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meletak jawatannya hujung tahun ini tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pengerusi bersama jawatankuasa program Road to Gold (RTG).

Hal ini kerana, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bahawa Norza dilantik untuk berada dalam jawatankuasa tertinggi RTG adalah atas kapasiti sebagai presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata, keputusan Norza melepaskan jawatan sebagai presiden BAM hujung tahun ini tidak akan memberi impak kepada program dan matlamat RTG dalam usaha memastikan Malaysia mampu membawa pulang emas pertama di temasya Olimpik.

"Seperti saya maklumkan peranan Norza dalam RTG adalah dalam kapasiti MOM sekali gus tidak memberi impak dalam program itu.

"Sepanjang tempoh dalam lapan bulan mengenai beliau sememangnya memainkan peranan besar dalam memperbaiki institusi terbabit (BAM)," katanya.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan Norza membuat kejutan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk sebaik sahaja tahun 2023 berakhir.

Keputusan itu tidak didorong oleh mana-mana pihak malah ia tiada kaitan dengan isu yang membabitkan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Persatuan BAM Datuk Misbun Sidek dan badan induk badminton itu ketika ini.

Norza dalam satu sidang media khas baru-baru ini bagi menjawab tuduhan Misbun itu berkata, keputusan itu diambil selepas beliau memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya memacu BAM.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan Norza melepaskan jawatan terbabit adalah satu kerugian besar Hannah berkata, pihaknya tidak mahu komen mengenai situasi terbabit.

"Sudah pastinya keputusan yang dibuat itu bukanlah secara individu namun mendapat persetujuan daripada semua pihak.

"Bukan semua orang boleh buat reformasi, berikanlah peluang kepada BAM buat reformasi dan hormati keputusan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 5:58 PM