NORZA mengumumkan mahu melepaskan jawatan Presiden BAM sebaik 2023 berakhir. FOTO ARKIB NSTP
NORZA mengumumkan mahu melepaskan jawatan Presiden BAM sebaik 2023 berakhir. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keputusan mengejut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu meletak jawatan sebaik sahaja tahun 2023 berakhir, bolehkan diibaratkan sebagai kehilangan permata dalam sukan itu.

Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam berkata, sumbangan Norza terhadap arena badminton negara cukup besar membabitkan penajaan dan kejayaan pemain di peringkat antarabangsa.

Beliau yang mengakui agak sukar untuk mencari pengganti Norza berkata, pihaknya akan bermesyuarat bagi membincangkan keputusan presiden itu sebelum tindakan lanjut boleh diambil kelak.

"Kami akan melakukan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan keputusan presiden (mahu letak jawatan) itu.

"Secara peribadi, Norza banyak berjasa kepada badminton negara dan kita boleh lihat sukan itu berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Walaupun orang cakap macam-macam, tapi hakikatnya kami boleh lihat perubahan dilakukan beliau sekarang berbanding sebelum mengambil alih jawatan sebagai presiden BAM," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Norza membuat kejutan akan melepaskan jawatannya selaku Presiden BAM sebaik sahaja 2023 berakhir.

Keputusan itu tidak didorong mana-mana pihak, malah ia tiada kaitan dengan isu membabitkan isu bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek dan badan induk badminton itu ketika ini.

Norza dalam sidang media khas, baru-baru ini, berkata keputusan itu diambil selepas beliau memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya untuk memacu BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 2:49 PM