Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agong Tahunan 2021-2025. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agong Tahunan 2021-2025. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Masih ada tugas yang belum selesai, itulah ungkapan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas diberi kepercayaan sekali lagi untuk memimpin badan induk badminton negara bagi penggal 2021-2025.

Norza yang memegang jawatan itu sejak 2017 dipilih sebulat suara oleh 15 ahli gabungan negeri pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM yang di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

"Saya masih ada misi yang belum selesai di sini (BAM) termasuk Projek 2024, Piala Thomas serta Kejohanan Dunia. Kami juga mahu pastikan akademi ini menjadi salah satu akademi terbaik di dunia," katanya dalam sidang media selepas AGM.

Beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengakui gembira dengan mandat yang diberikan bagi membolehkannya terus memimpin BAM empat tahun lagi.

"Sudah tentu saya gembira dengan kepercayaan yang diberikan oleh semua ahli gabungan bagi membolehkan saya terus memimpin BAM empat tahun lagi," katanya.

Norza turut menegaskan, beliau akan meninggalkan BAM jika misinya sudah tercapai selain akan memilih pengganti yang sesuai untuk mengisi kerusi Presiden.

Sementara itu, Datuk V Subramaniam dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dipilih sebagai Timbalan Presiden bagi menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Husain dan Datuk Lim Teong Kiat yang bersara.

Dalam pada itu, Datuk Kenny Goh turut mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha Agung BAM, manakala Datuk Michael Tang diberi tanggungjawab selaku Bendahari persatuan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:28 PM