HANNAH harap Norza kekal terajui BAM. -FOTO NSTP
HANNAH harap Norza kekal terajui BAM. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyimpan harapan besar supaya Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mempertimbangkan semula keputusan melepaskan jawatan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hujung bulan ini.

Menerusi kenyataannya di aplikasi X memaklumkan bahawa program Road to Gold (RTG) direka khusus mengelakkan berlakunya perubahan kepimpinan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau MOM dengan mempunyai dua pengerusi bersama.

"Dengan itu, saya berharap pengerusi bersama, Tan Sri Norza akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk berundur sebagai presiden BAM pada akhir tahun ini.

"Sukan Olimpik Paris hanya beberapa bulan sahaja lagi dan badminton mempunyai wakil paling ramai dalam RTG. Kita perlu fokus dan mengurangkan gangguan ketika masa persiapan penting ini," katanya.

Sebelum ini, pada Ogos lalu, Norza mengumumkan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk badminton itu pada hujung tahun ini selepas memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya bagi memacu BAM.

Norza memutuskan untuk mengundur diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024 bagi memberi tumpuannya terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden MOM selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

BAM pada Oktober lalu turut mengumumkan selepas ahli majlis badan itu sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baru mereka.

Norza pada ketika itu, berkata tarikh sebenar pelantikan Tengku Zafrul akan dibincangkan pada mesyuarat majlis yang akan datang pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:44 PM