PENG Soon (kanan) mengumumkan berpisah dengan Liu Ying semalam. FOTO Badminton Photo
PENG Soon (kanan) mengumumkan berpisah dengan Liu Ying semalam. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Teka teki mengenai hala tuju pemain badminton beregu campuran negara, Chan Peng Soon akhirnya terjawab apabila dia diumumkan kembali menyertai skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan.

Norza berkata, selepas melakukan perbincangan secara menyeluruh, BAM bersetuju untuk kembali menyerap pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu bagi memperkuatkan acara beregu campuran.

Selain itu, Peng Soon akan turut berperanan menjadi mentor kepada barisan pemain muda negara dalam usaha melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris 2024.

"Kami gembira dapat menyerap pemain berpengalaman seperti Peng Soon dalam skuad kebangsaan.

"Adalah menjadi harapan kami agar dia dapat berkongsi pengalaman yang luas dengan pemain muda. Dengan kualiti yang dimilikinya, kami percaya pengalaman yang dimilikinya itu dapat dimanfaatkan oleh barisan pemain muda," kata Norza.

Sementara itu dalam permohonan yang dihantarnya, Peng Soon turut menyatakan hasratnya untuk bertanding sehingga Olimpik Paris 2024.

Semalam, Peng Soon mengumumkan perpisahannya dengan pasangannya Goh Liu Ying dan memaklumkan bahawa Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia yang berakhir Ahad lalu itu adalah kejohanan terakhir mereka selaku pasangan beregu campuran profesional negara.

Pada aksi di Bali itu mereka yang menghuni ranking kesembilan dunia itu berjaya mara ke separuh akhir namun tewas kepada Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, Sabtu lalu.

Peng Soon-Liu Ying yang mula bergandingan pada 2009 berjaya meraih 12 gelaran juara di pentas antarabangsa termasuklah pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Sepanjang bersama, mereka pernah berada di kedudukan ranking nombor tiga dunia pada 2013 - terbaik dalam kerjaya mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:02 PM