LEE Zii Jia. FOTO AFP
LEE Zii Jia. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan hari cemerlang kem badminton negara di Terbuka Hong Kong apabila menempah tiket ke pusingan kedua.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-16 dunia hanya memerlukan masa 39 minit untuk menunjukkan Zhao Jun Peng jalan keluar apabila menang 21-17, 21-16.

Beraksi di Hong Kong Coliseum, Zii Jia menerima tentangan sengit di set pertama apabila Jun Peng yang berada di ranking ke-31 dunia berjaya mengikat kedudukan sebanyak tiga kali iaitu di kedudukan 10, 15, dan 16 sama sebelum mengorak langkah untuk melakar kemenangan 21-17.

Memasuki set kedua, aksi permainan Zii Jia semakin garang apabila jauh meninggalkan lawan 13-6 dan menang 21-16.

Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia berjaya membalas dendam kekalahannya kepada Jun Peng di Kejohanan Dunia tahun lalu sekali gus melebarkan rekod pertemuan kepada 2-1 ke atas lawan dari China itu.

Zii Jia selepas ini akan berdepan pemain Taiwan, Lee Chia Hao yang melakar kejutan menewaskan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 21-16, 21-10 di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 10:59 PM