ZII Jia sekali lagi tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
ZII Jia sekali lagi tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Tiada apa yang boleh diharapkan ke atas perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia apabila tumpas di pusingan pertama Terbuka Malaysia kepada wakil China, Lu Guang Zu sebentar tadi.

Diharapkan dia mampu bangkit untuk kejohanan seterusnya selepas ini apabila ribuan peminat tempatan yang hadir ke Axiata Arena sekali lagi kecewa dan hanya mampu mengungkapkan 'comeback stronger' Zii Jia selepas perseorangan lelaki nombor satu negara itu kalah 21-16, 19-21, 15-21.

Ini kali keempat berturut-turut Zii Jia gagal sekurang-kurangnya merasai nikmat suku akhir Terbuka Malaysia selepas tumpas di pusingan pertama kepada Suppanyu Avihingsanon (Thailand) pada 2019, ditumbangkan Shesar Hiren Rhustavito (Indonesia) di pusingan kedua pada 2022 dan tahun lalu ditunjukkan jalan keluar oleh Kodai Naraoka (Jepun) juga di pusingan pertama.

Zii Jia yang juga pemain ranking ke-11 dunia berkata, dia tidak ada pilihan dan setiap perlawanan ada menang, ada kalah dan berasa 'benci' mahu menjawab soalan untuk cuba lagi, 'comeback stronger'.

"Saya pun bosan hendak cakap benda sama, namun untuk bahagian saya, tetap ada positif dan tidak menyerah kalah.

"Apa yang jurulatih ajar saya tidak menyerah kalah untuk sentiasa mencuba. Saya perlu sabar dan tidak tahu sampai bila (penantian akan berakhir)," katanya.

Tambah Zii Jia, hari ini Guang Zu bermain secara bertahan dengan baik, terutama sekali di set penentuan, manakala dia pula ketika itu agak kurang sabar dan mula melakukan kesilapan.

"Secara keseluruhan ada sesuatu yang positif, ia dapat dilihat pada set pertama dan kedua.

"Namun pada permulaan di set penentuan masalah pada diri saya datang kembali," katanya.

Zii Jia bermula dengan baik di set pertama dan meninggalkan lawan agak jauh sebelum Guang Zu bangkit untuk mengikat kedudukan 16-16, tetapi dia berjaya menghentikan kebangkitan pemain ranking ke-19 dunia itu untuk mendahului 1-0.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kedah itu gagal menggunakan kelebihan kemenangan set pertama, sebaliknya Guang Zu menukar corak permainan menyebabkannya gagal menyaingi momentum lawan berusia 27 tahun itu.

Akibatnya, Zii Jia terpaksa akur lawan mempamerkan kebangkitan dalam set kedua dan mengheret ke set penentuan, sekali gus memastikan Zii Jia terus kempunan untuk mengulangi pencapaian terakhir Datuk Lee Chong Wei yang muncul juara di tempat sendiri pada 2018.

Selepas ini, Zii Jia akan mengambil bahagian di Terbuka India yang berlangsung dari 16 hingga 21 Januari dan dijadualkan menentang pemain Kanada, Brian Yang di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 9:12 PM