ZII Jia akui Axelsen bermain dengan lebih yakin. FOTO EPA
ZII Jia akui Axelsen bermain dengan lebih yakin. FOTO EPA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Lee Zii Jia mengakui Viktor Axelsen mempamerkan karakter berbeza selepas meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo yang menyaksikannya tumbang di tangan juara dunia itu pada suku akhir Terbuka Denmark, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun yang diletakkan selaku pilihan ketujuh itu, memberi tentangan sengit sebelum akur tewas 19-21, 19-21 dalam tempoh 39 minit kepada Axelsen yang beraksi di halaman sendiri.

Kejayaan Axelsen menewaskan Zii Jia sekali gus menebus kekecewaannya tewas kepada jaguh negara itu pada pertemuan terakhir mereka di final Seluruh England, Mac lalu.

"Ia adalah perlawanan sukar terutama ketika mata penentuan di set pertama dan kedua. Saya cuba buat yang terbaik tetapi dia (Axelsen) lebih yakin.

"Saya fikir selepas Olimpik, Viktor bermain dengan lebih yakin dan dia sentiasa bermain di tahap tertinggi seperti ini. Adalah sukar untuk menang ke atas dia sekarang," katanya.

Zii Jia turut mengakui tidak dapat mengekalkan fokus apabila beraksi di tahap tertinggi seperti di Terbuka Denmark.

"Ini adalah salah satu daripada kelemahan saya ketika ini dan saya akan berusaha untuk mengatasinya," katanya yang membantu skuad negara di Piala Sudirman dan Piala Thomas sebelum beraksi di Terbuka Denmark.

Pemain yang menduduki ranking kelapan dunia itu akan mengalihkan tumpuan kepada Terbuka Perancis yang bermula Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:44 PM