JUN Hao mara ke suku akhir Masters Korea selepas Koljonen menarik diri di set kedua akibat kecederaan. FOTO ARKIB NSTP
JUN Hao mara ke suku akhir Masters Korea selepas Koljonen menarik diri di set kedua akibat kecederaan. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao tidak perlu bersusah payah untuk mara ke suku akhir Masters Korea apabila lawannya dari Finland, Kalle Koljonen menarik diri di set kedua dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Selepas mencatat kemenangan 21-16 di set pertama, Jun Hao yang meraih kejuaraan Masters Kuala Lumpur hujung minggu lalu, memperoleh kemenangan apabila Koljonen menarik diri ketika ketinggalan 0-3 di set kedua akibat kecederaan.

Menanti pemain kelahiran Kuala Lumpur itu di suku akhir esok ialah Lei Lan Xi dari China yang sebelum itu mengalahkan wakil Jepun, Riku Hatano 21-13, 21-12.

Turut mengiringi Jun Hao ke suku akhir ialah pemain profesional, Soong Joo Ven selepas mengalahkan wakil tuan rumah, Jeon Hyeok Jin, 7-21, 21-14, 21-17.

Bagaimanapun, Joo Ven bakal berdepan cabaran getir esok apabila berentap dengan bekas pemain nombor satu dunia, Kento Momota yang sebelum itu mengalahkan wakil Jerman, Kai Schaefer 21-17, 21-16.

Beregu lelaki negara yang juga pilihan kelima, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mara ke suku akhir apabila mengalahkan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Yang Ming-Tse, 21-14, 21-18.

Mereka akan berdepan wakil tuan rumah, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae selepas pilihan utama itu mengalahkan satu lagi pasangan negara, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-18, 21-9.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 4:33 PM