JUN HAO (kanan) muncul juara acara perseorangan selepas menewaskan Muhammad Shaqeem pada aksi final. FOTO FATHIL ASRI
JUN HAO (kanan) muncul juara acara perseorangan selepas menewaskan Muhammad Shaqeem pada aksi final. FOTO FATHIL ASRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao akhirnya berjaya bergelar juara kebangsaan buat kali pertama sekali gus menembus kekecewaannya empat tahun lalu.

Pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara, Jun Hao mempamerkan rentak cemerlang apabila menewaskan rakan sepasukan, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar 21-16, 21-13.

Ia pasti kejayaan yang manis buat bekas juara remaja Asia itu selepas pada edisi 2019 dia terpaksa menarik diri ketika bertemu Soong Joo Ven di perlawanan akhir akibat kecederaan.

"Pada set pertama memang agak sukar sebab dia (Shaqeem) berikan tentangan sengit.

"Melihat aksi dia saya bermain lebih agresif dan cuba untuk dapatkan mata demi mata sampai tamat perlawanan.

"Saya fikir dengan gelaran ini mungkin boleh memberikan saya satu kepuasan dan berharap saya mampu untuk tampilkan aksi lebih konsisten di pentas antarabangsa selepas ini," katanya.

Jun Hao membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pingat serta piala pusingan manakala Shaqeem berpuas hati dengan RM5,000 dan pingat.

Kejuaraan itu juga menyaksikan Jun Hao kini meletakkan namanya sebaris dengan barisan jaguh badminton negara yang lain selaku juara kebangsaan termasuklah Datuk Lee Chong Wei yang merekodkan 10 gelaran berturut-turut bermula 2002 hingga 2011.

Sementara itu dalam aksi wanita, K Letshanaa mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan rakan sepasukan, Wong Ling Ching 16-21, 21-17, 21-19.

"Saya banyak lakukan kesilapan mudah di set pertama. Memang satu perlawanan yang sukar apabila Ling Ching juga bermain dengan bagus.

"Tapi saya tak putus asa, saya bangkit untuk kejar lawan dan akhirnya berjaya menang perlawanan ini. Ia sesuatu yang menggembirakan sebab ini kejohanan yang besar," katanya yang membuat penampilan pertama di kejohanan kebangsaan.

Selaku juara, Letshanaa membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, pingat serta piala pusingan manakala Ling Ching meraih RM3,500 dan pingat.

Dalam saingan beregu lelaki, gelaran juara menjadi milik Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang mengatasi Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-17, 21-12 manakala pasangan profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin mengungguli saingan beregu wanita apabila menundukkan Cheng Su Hui-Vanessa Ng Po Lyn 21-13, 21-7.

Roy King meraih gelaran berganda pada kejohanan kali ini apabila dia turut muncul juara beregu campuran bersama pasangannya, Valeree Siow menerusi kemenangan ke atas Choong Hon Jian-Go Pei Kee 21-19, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 4:37 PM