AKSI Tze Yong ketika menentang Aidil. FOTO  Owee Ah Chun
AKSI Tze Yong ketika menentang Aidil. FOTO Owee Ah Chun
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Tze Yong, hanya selangkah lagi untuk merealisasikan impian merangkul gelaran sulung temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 apabila mara ke final badminton perseorangan lelaki di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, esok.

Pemain Johor berusia 22 tahun itu akan berdepan wakil Kuala Lumpur dan bekas juara Remaja Asia 2017, Leong Jun Hao, 22, di pentas final selepas masing-masing melepasi saingan separuh akhir hari ini.

Tze Yong, selaku pilihan utama, mengesahkan tempat ke final dengan mudah menyingkirkan wakil Selangor, Aidil Sholeh Ali Sadikin 21-14, 21-15 manakala pilihan kedua, Jun Hao, bangkit semula untuk menewaskan pemain Kedah, Jacky Kok Jing Hong, 6-21, 21-12, 21-12.

Tze Yong yang tersingkir kepada juara bertahan Tan Jia Wei dari Pulau Pinang seawal punsingan kedua pada edisi 2018 di Perak, bagaimanapun, berwaspada dengan rakan sepasukan negara, Jun Hao.

"Perlawanan final esok sudah pasti sengit selepas Jun Hao mempunyai kepantasan sebagai senjata utama dan saya perlu menanganinya," katanya selepas perlawanan itu.

Sementara itu, Selangor mengesahkan pingat emas acara perseorangan wanita apabila pemain muda negara, Siti Nurshuhaini Azman menentang rakan senegeri dan bekas pemain negara, K Letshanaa di final.

Siti Nurshuhaini, 18, mengesahkan kemaraan ke pentas final selepas ketinggalan set pertama sebelum bangkit menewaskan Amanda Yap Hwa Leng dari Wilayah Persekutuan, 15-21, 21-11, 21-13 manakala

Letshanaa yang beraksi secara kompetitif buat kali pertama sejak meninggalkan pasukan kebangsaan awal tahun ini akibat kecederaan belakang, mengejutkan pilihan keempat, Tan Zhing Yi dari Pulau Pinang, 22-20, 21-17 selepas bertarung sengit selama 46 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 10:25 PM