Helmi Talkah


MALAYSIA berpotensi untuk memiliki dua gelaran juara pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia.

Ini selepas dua bintang muda negara, Leong Jun Hao dan Goh Jin Wei (gambar) menempah tempat ke separuh akhir acara perseorangan lelaki dan wanita, sebentar tadi.

Mereka kini hanya selangkah lagi untuk mengesahkan tempat ke final.

Terdahulu, Jun Hao yang juga juara remaja Asia 2017, mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Perancis, Christo Popov 21-14, 21-12 dalam aksi suku akhir.

Kemenangan itu jelas meningkatkan semangat Jun Hao yang kini semakin membara dalam misinya melengkapkan gelaran kejohanan utama peringkat remaja kerana ini adalah penampilan terakhirnya kerana faktor usia.

“Dengan kemenangan ini, saya berjaya menepati sasaran awal layak ke separuh akhir. Kemenangan hari ini juga menyuntik semangat saya dengan fokus adalah untuk layak ke final dan menjadi juara.

“Apa pun, saya tidak boleh memandang mudah lawan saya. Saya pasti dia akan memberi tentangan sengit,” kata Jun Hao yang akan berdepan pemain Jepun, Kodai Naraoka untuk perebutan tempat ke final, esok.

Sementara itu, perseorangan wanita, Jin Wei pula mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Thailand, Chananchida Jucharoen 21-12, 21-5.

Dia yang tampil dengan misi memburu gelaran juara dunia kedua selepas memenanginya pada 2015 di Peru, akan bertemu pemain China, Han Yue bagi merebut tempat ke final.

Ia pastinya cabaran sukar buat Jin Wei selepas dia tewas kepada lawannya itu ketika final acara berpasukan campuran, minggu lalu.

Nasib bagaimanapun tidak memihak kepada wakil negara yang lain - Ng Eng Chong-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Kwek Yee Jian-Man Wei Chong (beregu lelaki) apabila terkandas di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 8:02 PM