WOOI Yik (kiri) dan Aaron menyumbang mata kedua negara di separuh akhir. FOTO ASWADI ALIAS
WOOI Yik (kiri) dan Aaron menyumbang mata kedua negara di separuh akhir. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: Skuad lelaki negara berpeluang untuk melakar sejarah muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama apabila berjaya melangkah ke pentas final, esok.

Pada aksi separuh akhir di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam hari ini, skuad negara menewaskan Korea Selatan 3-0.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia seperti diramal berjaya menyumbang mata pertama namun dia terpaksa berdepan tentangan sengit Jeon Hyeok Jin sebelum meraih kemenangan mutlak 13-21, 21-13, 21-15 pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam tujuh minit itu.

"Sudah pasti apabila sampai ke final, siapa yang tak mahu jadi juara. Sasaran kami memang mahu ke final tetapi sasaran terakhir adalah untuk menjadi juara," kata Zii Jia.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga berdepan situasi sama apabila memilih jalan sukar sebelum meraih mata kedua negara ketika berdepan Kim Hwi Tae-Kim Jae Hwan dengan kemenangan 21-14, 20-22, 21-19.

Selepas menang di set pertama, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu di ambang kemenangan pada set kedua apabila mendahului 20-17 namun akhirnya tewas 20-22 dan menebus kesilapan itu pada set penentuan dengan kemenangan 21-19.

Perseorangan ketiga negara, Ng Tze Yong mengesahkan kemenangan Malaysia selepas menewaskan Kim Joo Wan 19-21, 21-16, 21-12.

Pencapaian terbaik skuad lelaki negara adalah mara ke pentas final dua tahun lalu di Manila, Filipina namun tewas kepada Indonesia 1-3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 8:04 PM