ZII Jia puas selepas menumbangkan Axelsen dalam perlawanan akhir Seluruh England di Birmingham sebentar tadi. FOTO AFP
ZII Jia puas selepas menumbangkan Axelsen dalam perlawanan akhir Seluruh England di Birmingham sebentar tadi. FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia melakar sejarah apabila muncul juara Seluruh England selepas menewaskan juara bertahan, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.

Kejayaan itu pasti cukup manis untuk Zii Jia kerana dapat membalas dendam selepas dikecewakan Axelsen pada aksi separuh akhir di pentas sama tahun lalu.

Zii Jia muncul pemain pertama negara memenangi kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Ia juga adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen sepanjang lima pertemuan antara mereka.

Namun bukan sesuatu yang mudah untuk Zii Jia memenangi aksi final itu terutama di set pertama apabila dia hanya dapat melakar kemenangan selepas beraksi selama 30 minit.

Zii Jia berpeluang untuk menamatkan perlawanan di set kedua apabila pada satu ketika mendahului 18-14 namun Axelsen bangkit meraih kemenangan 22-20.

Set ketiga menyaksikan Axelsen kepenatan dan semakin hilang tumpuan dengan Zii Jia kekal fokus sekali gus melakar kemenangan mutlak.

Dengan kemenangan itu, Zii Jia meraih ganjaran AS$59,500 (RM244,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 11:12 PM