ZII Jia kali pertama menewaskan juara dunia 2019 itu selepas tujuh pertemuan. FOTO Agensi
ZII Jia kali pertama menewaskan juara dunia 2019 itu selepas tujuh pertemuan. FOTO Agensi
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencipta sensasi apabila sekali lagi mengulangi kejayaan mara ke separuh akhir Seluruh England.

Namun kali ini Zii Jia melangkah bergaya selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota 21-16, 21-19 pada aksi suku akhir sebentar tadi.

Kejayaan itu pastinya menggembirakan Zii Jia yang kali pertama menewaskan juara dunia 2019 itu sepanjang tujuh pertemuan antara mereka.

Pemain yang menduduki ranking ke-10 dunia itu pada satu ketika ketinggalan sebelum berjaya melakar kemenangan 21-16 di set pertama.

Zii Jia mengekalkan momentumnya pada set kedua selepas menerima tentangan sengit daripada Momota sebelum melakar kemenangan mutlak 21-19.

Jaguh negara itu akan bertemu pemain Belanda, Mark Caljouw pada aksi separuh akhir.

Tahun lalu Zii Jia melakar kejutan mara ke separuh akhir namun gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada jaguh Denmark, Victor Axelsen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 8:50 PM