KEAN Yew juara dunia dari Singapura.
KEAN Yew juara dunia dari Singapura.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Juara dunia yang juga perseorangan lelaki Singapura, Loh Kean Yew tidak mahu terlalu fokus terhadap pertemuan menentang pemain Malaysia, Lee Zii Jia apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada aksi Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) esok.

Perlawanan antara kedua-dua perseorangan pertama itu bakal menjadi tumpuan seluruh peminat sukan badminton kerana mempertemukan Kean Yew dan Zii Jia yang sudah dianggap sebagai seteru utama.

Bagaimanapun, Kean Yew tidak mahu perseteruannya dengan Zii Jia mengganggu fokus pemain-pemain lain kerana dia menganggap aksi berpasukan sangat berbeza dengan kejohanan individu seperti kebiasaan.

Ujarnya, selepas tempoh masa agak lama dia akhirnya kembali bersama pemain-pemain lain untuk kejohanan berpasukan dan tidak sabar untuk beraksi seperti biasa.

"Saya tahu pertemuan saya dengan Zii Jia amat ditunggu-tunggu tetapi saya datang ke sini bersama pasukan, jadi sumbangan pemain lain juga sangat penting. Kami perlu bermain sebagai satu pasukan," kata Kean Yew.

Pemain berusia 25 tahun itu berharap Singapura mampu melepasi saingan peringkat kumpulan dan mara ke separuh akhir bagi mendapatkan slot ke saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok Mei depan.

Dalam pada itu, Kean Yew juga enggan terlalu memikirkan mengenai statusnya sebagai juara dunia memandangkan ia mampu menghadirkan tekanan buat diri sendiri serta pasukan pada kejohanan dwitahunan itu.

"Mengenai peluang ke Piala Thomas, saya anggap apa sahaja boleh berlaku dalam setiap kejohanan. Ini adalah kejohanan berpasukan, jadi semua pemain perlu bersedia untuk sumbang mata," jelasnya.

Selain Kean Yew, Singapura turut dibarisi, Jason Teh, Joel Koh, Terry Hee, Loh Kean Hean, Danny Bawa Chrisnanta, Andy Kwek, Wesley Koh, Junsuke Kubo, Lim Ming Hong, Lim Shun Tian, Dexter Tan dan Jason Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 9:44 PM