AARON-WOOI YIK sumbang mata pertama Malaysia. -FOTO Bernama
AARON-WOOI YIK sumbang mata pertama Malaysia. -FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Walaupun dihimpit masalah kecederaan dan kesihatan yang membabitkan dua pemain perseorangan skuad badminton lelaki negara tidak terkesan apabila berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Malaysia mara selepas menewaskan Singapura 3-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, sebentar tadi.

Kemaraan ke separuh akhir turut menyaksikan mereka layak secara automatik ke saingan Piala Thomas di Chengdu, China pada April depan.

Bagaimanapun, kemenangan itu dipalit dengan masalah kesihatan dan kecederaan yang menimpa Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong.

Tze Yong yang turun selaku perseorangan pertama terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 1-3 di set pertama menentang Jason Teh.

Kecederaan belakang yang dialami ketika Terbuka Malaysia, bulan lalu kembali menghantui Tze Yong, manakala Zii Jia tidak dapat diturunkan dalam perlawanan kerana dinasihatkan oleh doktor susulan mengalami masalah sukar bernafas akibat resdung.

Selepas ketinggalan 0-1, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali menyamakan kedudukan buat Malaysia apabila mengatasi gandingan Loh Kean Hean-Howin Wong Jia Hao 21-11, 22-24, 21-14.

Perseorangan kedua, Leong Jun Hao meletakkan skuad negara di depan dengan keputusan 2-1 selepas mencatat kemenangan ke atas Joel Koh 21-8, 21-12.

Beregu kedua, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei menyumbang mata kemenangan selepas mengetepikan cabaran gandingan Wesley Koh-Junsuke Kubo 21-6, 20-22, 21-8.

Malaysia akan bertemu pemenang perlawanan antara Jepun dengan India bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Skuad lelaki negara tampil pada edisi kali ini selaku juara bertahan selepas muncul juara buat kali pertama dua tahun lalu menerusi kemenangan 3-0 ke atas Indonesia 3-0 pada aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:59 PM