Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia meletakkan indeks prestasi utama (KPI) yang tinggi untuk dirinya sendiri pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) bermula Selasa ini apabila menganggap adalah satu kegagalan jika skuad negara tidak beraksi di pentas final.

Zii Jia yang akan menjadi tonggak utama untuk memburu mata berkata, skuad negara seharusnya mara ke pentas final selepas mengambil kira pencabar lain dalam Kumpulan B terutamanya Jepun dan Singapura tidak membariskan pasukan terkuat.

"Secara jujur saya bukan hendak bagi tekanan kepada diri sendiri. Saya rasa semua orang pun tahu kebanyakan pasukan kali ini tidak menghantar barisan pemain terkuat.

"Jadi bagi saya sudah tentu sasaran kita adalah muncul juara. Kita tidak ada pilihan, tidak kira berdepan tekanan atau sebagainya.

"Kami perlu masuk ke final. Jika tidak ke final, saya anggap ia sebagai satu kegagalan. Saya juga anggap diri saya gagal. Sebab jika lihat pasukan dari negara lain, saya rasa kita membariskan pasukan terkuat," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Selain Jepun dan Singapura, skuad negara juga diundi bersama Kazakhstan dengan dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir sekali gus layak ke Piala Thomas secara automatik.

Mengulas jangkaan pertemuannya dengan jaguh Singapura yang juga juara dunia, Loh Kean Yew di saingan peringkat kumpulan, Zii Jia akui ia adalah perlawanan cukup penting untuknya.

"Sudah tentu perlawanan dengan Kean Yew sangat penting untuk saya. Ia juga penting untuk dia selepas muncul juara dunia.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, apabila sudah keluar (dari Persatuan Badminton Malaysia), saya akan berdepan cabaran lebih besar. Tapi saya sudah bersedia dan ambil tanggungjawab ini," katanya menjelang saingan yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam itu.

Pada saingan kali ini, Malaysia menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Zii Jia, Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Hao, Lim Chong King and Kok Jing Hong.

Dalam acara beregu, Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran Aaron-Wooi Yik yang menjadi taruhan utama pasukan negara selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 7:26 PM