ZII Jia tewas di tangan pemain Singapura. FOTO BAM
ZII Jia tewas di tangan pemain Singapura. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih badminton perseorangan, Hendrawan meminta semua peminat tanah air bertenang biarpun pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia tewas mengejut seawal pusingan pertama di Terbuka Perancis kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew.

Kalah kepada pemain jauh lebih rendah ranking bukanlah kayu pengukur yang boleh menilai tahap prestasi seseorang pemain itu terutama selepas menempuh jadual perlawanan padat bermula dengan saingan Piala Sudirman di Finland awal bulan ini. Kata Hendrawan, Zii Jia akur akan kekalahan itu dan masih banyak lagi kejohanan yang menantinya selepas ini.

"Semalam dia kalah dan lawan bermain dengan lebih baik. Yang penting sekarang berehat dulu dan kita akan cuba lagi untuk kejohanan seterusnya. Masih banyak lagi," katanya.

Antara kejohanan yang bakal disertai pemain negara adalah Terbuka Indonesia dan Indonesia Masters sebelum beraksi di kemuncak kejohanan, Siri Jelajah Dunia dari 1 hingga 5 Disember di Bali yang menawarkan hadiah bernilai AS$1,500,000 (RM6.2 juta).

Pemain ranking kelapan dunia itu tewas kepada Kean Yew yang kini menghuni ranking ke-40 dunia, 22-24, 14-21 dalam aksi berlangsung 39 minit di Stade Pierre de Coubertin, namun rekod pertemuan masih lagi memihak kepada Zii Jia, 2-1.

Untuk rekod, Kean Yew yang dibesarkan di Pulau Pinang berhijrah ke Singapura pada 2010 dan kini antara pemain terbaik negara jiran itu. Dia turut merangkul pingat perak di Sukan Sea Filipina selepas tewas kepada Zii Jia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:32 PM