SAINGAN Serie A dilihat kurang seri apabila penonton tidak dibenarkan ke stadium. FOTO AFP
SAINGAN Serie A dilihat kurang seri apabila penonton tidak dibenarkan ke stadium. FOTO AFP
AFP

MENTERI Sukan Itali, Vincenzo Spadafora tidak menolak kemungkinan peminat bola sepak boleh kembali ke stadium sebelum September.

Saingan Serie A yang bersambung kembali selepas tiga bulan ditangguh akibat Covid-19 berlangsung tanpa penonton bermula 20 Jun dan akan berakhir 2 Ogos depan.

"Bagi kembali membuka pintu untuk kehadiran penyokong, kami percaya ia perlu dilakukan dengan berhati-hati seperti mana yang kami lakukan setakat ini.

"Kami sentiasa bekerja keras dengan badan bola sepak induk dan pengurusan liga, jadi September depan untuk saingan musim baru, akan ada langkah untuk membuka kembali stadium dan membenarkan puluhan ribu peminat kembali ke veneu," katanya ketika sesi soal jawab di parlimen.

Saingan liga di Itali ditangguhkan pada 9 Mac berikutan pandemik Covid-19 meragut nyawa lebih 35,000 orang di negara berkenaan.

Badan induk bola sepak Itali sedang bertungkus-lumus dengan pelbagai perancangan untuk membenarkan penyokong kembali ke stadium namun perlu menjaga penjarakan sosial.

"Ia memang benar ruang di stadium sangat luas tapi ia agak berisiko untuk menguruskan aliran masuk dan keluar dengan bilangan manusia yang ramai walaupun terdapat kawalan di pintu masuk.

"Dengan hanya berbaki dua minggu lagi sebelum saingan musim ini berakhir, ia agak sukar untuk menguruskan segala hal.

"Tugas saya adalah memastikan segala syarat dipatuhi sehingga kelulusan untuk ke stadium dibenarkan bagi saingan musim baru," kata Spadafora,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 11:41 AM